Aku Tak Layak Berteduh Di Perhentianmu....
Meski hidup adalah sebuah pilihan
rasa terkilan menjerut diri
membatas aturan langkah seterusnya
terperuk di sudut gelap kontang
tercunggap tika menghela nafas
Tak tergapai tanganku
cuba memeluk imaginasiku
tak terurai kata-kata
cuba memahami situasimu
terdiam kaku membisu
Apalah erti rinduku ini
jika ianya sering terabai
apalah erti sayangku ini
jika ianya sering tersia
jerit hati memilu
Tak perlu lagi aku merintih
kerana airmataku akan sia-sia
tak perlu lagi aku merayu
kerana rayuanku akan memerit jiwa
engkau tetap berpaling tanpa melihat hati yang tersakiti
Akan sampai waktuku
aku harus terima kenyataan
aku tak ingin menjadi kebimbangan dalam hatimu
aku tak ingin menjadi bebanan dalam putusanmu
jangan pernah ada sesal di dalamnya
Aku hanya insan kerdil
insan yang berjiwa kelana
mencari arah tuju yang tak pasti
hanya persimpangan demi persimpangan yang ku temui
aku tak layak berteduh di perhentianmu
No comments:
Post a Comment